CARACAS 10 Mac – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan mendakwa kira-kira 15 orang pesakit buah pinggang maut dalam tempoh dua hari kerana tidak dapat menjalani rawatan dialisis kerana gangguan bekalan elektrik.
Pengarah Kumpulan Hak Asasi Kesihatan Codevida, Francisco Valencia berkata, terdapat 15 kematian pada Jumaat dan semalam kerana pesakit buah pinggang tidak dapat menjalani rawatan.
“Masalah gangguan bekalan elektrik menyukarkan pesakit buah pinggang, kritikal. Kita bercakap tentang 95 peratus unit dialisis dan hari ini mungkin 100 peratus kerana gangguan bekalan elektrik,” katanya semalam.
Beliau turut memberi amaran terdapat lebih 10,200 pesakit buah pinggang di seluruh negara yang perlu menjalani rawatan dialisis berisiko maut berikutan masalah tersebut.
Sejak Khamis lalu, Venezuela mengalami gangguan bekalan elektrik yang paling teruk dalam sejarah negara pengeluar minyak tersebut. -AFP











