HATYAI, Thailand 10 Mac – Pejabat Konsul Malaysia di Songkhla merekodkan peningkatan permohonan rakyat Malaysia untuk mendapatkan surat pengesahan pernikahan di negara ini pada setiap tahun sejak 2011.
Konsul Jeneralnya, Mohd. Afandi Abu Bakar berkata, pada tahun lepas sebanyak 4,653 permohonan surat pengesahan pernikahan diterima pihaknya berbanding 4,375 (2017).
Kata beliau, berdasarkan statistik sebelum itu, sebanyak 2,885 permohonan diterima pihak Pejabat Konsul itu pada 2011 diikuti 3,463 (2012); 3,485 (2013); 3,831 (2014); 4,081 (2015) dan 4,178 (2016).
“Permohonan ini turut melibatkan mereka yang telah berkahwin selama 20 tahun tetapi jumlahnya kecil, manakala majoriti adalah yang berkahwin sejak dua atau tiga tahun lalu.
“Mereka (pasangan) terpaksa mendapatkan surat pengesahan pernikahan mungkin untuk mendaftarkan anak-anak atau kes-kes lain yang memerlukan pernikahan itu disahkan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Mohd. Afandi seterusnya berkata, hampir keseluruhan permohonan untuk mendapatkan surat pengesahan pernikahan itu adalah dari kalangan yang berkahwin sesama rakyat Malaysia, yang dilakukan di pejabat-pejabat agama Islam di selatan negara ini.
“Mereka yang berkahwin ini bukanlah dari penduduk di bahagian utara tanah air sahaja tetapi adalah dari seluruh negara kecuali Sabah dan Sarawak serta terdiri daripada pelbagai latar belakang,” katanya.
Beliau seterusnya menasihatkan bakal pasangan rakyat Malaysia tidak menggunakan sindiket bagi mengelakkan timbulnya masalah berhubung status perkahwinan tersebut nanti. – UTUSAN ONLINE











