KERETA terbang atau flying car bukannya satu perkara baharu. Menurut rekod, kereta terbang pertama kali dihasilkan pada 1917 apabila Glenn Curtiss menghasilkan Autoplane, sebuah kereta dengan kipas propeler di belakang. Walaupun Autoplane itu hanya boleh melonjak dalam jarak pendek, ia masih dikira sebagai satu percubaan yang pertama.
Ada banyak lagi model kereta terbang yang dihasilkan tetapi hampir kesemuanya menggunakan konsep yang sama – kereta biasa dengan sayap yang boleh dipasang apabila mahu terbang dan enjin kipas propeler. Malangnya, kesemua model kereta terbang itu terlalu mahal dan dari segi undang-undang, ia dilihat sebagai sebuah kapal terbang mini.
Ini bermakna lesen D untuk memandu kereta yang ada pada anda itu masih tidak mencukupi. Anda perlu ada lesen juruterbang dan kenderaan itu perlu didaftarkan sebagai sebuah kapal terbang juga.
Kos pembinaan juga tinggi dan dari segi praktikal, tidak ada yang dapat terbang dalam jarak jauh kerana kekangan bahan api (tangki kecil). Ia juga hanya boleh terbang dan mendarat di kawasan yang ditentukan sahaja – bukannya keluar dari parkir rumah dan terus terbang ke pejabat kita, seperti yang diidamkan oleh kebanyakan rakyat Malaysia.
Sebenarnya, kereta terbang tidak wujud sebagai sejenis pengangkutan awam atau persendirian pun kerana ia cuma wujud dalam bilangan yang terlalu kecil. Isu yang ditimbulkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Md. Yusof, telah disalahertikan oleh ramai pihak kerana mereka beranggapan teknologi itu sudah wujud. Ini jauh daripada benar kerana teknologi yang wujud hanyalah peringkat permulaan dan dalam kajian awal.
Baru-baru ini, Redzuan berkata, kementerian itu menyasarkan penggunaan kereta terbang untuk kegunaan industri seperti pertanian serta pengangkutan awam. Bagi industri pertanian, jelasnya, ia boleh digunakan untuk memantau ladang-ladang selain turut digunakan untuk menjaga keselamatan di sempadan negara.
Pada pendapat saya, dunia (bukan Malaysia) akan hanya melihat kereta terbang dalam skala yang banyak mungkin dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun lagi. Teknologi kereta terbang berkembang dengan kadar yang sangat perlahan.
Apa yang ada sekarang lebih kepada teknologi dron, yang mana empat atau lebih kipas digunakan untuk menggerakkan kereta terbang itu. Masalah pada sistem ini adalah bateri – saiz bateri yang diperlukan adalah kecil kerana jika terlalu berat, ia tidak boleh terbang.
Jika terlalu ringan, ia tidak mampu memberikan tenaga yang lama. Teknologi dron buat masa sekarang lebih kepada mainan kawalan jauh dan alat pemantauan (video dan fotografi). Jika teknologi sudah wujud, masalah kedua pula akan menjelma – undang-undang dan prasarana untuk kereta terbang.
Undang-undang perlu wujud untuk melindungi pengguna yang lain. Ini masih tidak wujud untuk kereta terbang, di mana-mana negara di dalam dunia pun. Saya pasti menteri yang mencadangkan ini memahami betapa sukarnya untuk mengolah akta perundangan baharu untuk kereta terbang.
Prasarana dan infrastruktur untuk kereta terbang juga masih tidak wujud, baik untuk kegunaan sebagai kenderaan persendirian ataupun kenderaan pengangkutan awam. Saya kira Malaysia tidak perlu terlalu risau atau terlalu ghairah bercerita akan teknologi yang jauh lagi daripada mampu digunakan.
Walaupun saya menyokong ia dikaji oleh universiti-universiti tempatan agar kita tidak tertinggal berbanding negara-negara lain, usaha yang lebih sepatutnya diletakkan kepada pembangunan kenderaan dengan bahan api alternatif kerana itu adalah sesuatu yang kita perlukan sekarang.
Kenderaan dengan bahan api diesel dan petrol perlukan pengganti dalam masa 10 tahun akan datang apabila kos kedua-dua bahan api itu meningkat naik dan pencemaran semakin serius.
Kerajaan perlu memikirkan masalah ini dengan lebih serius kerana pencemaran udara bukan satu omong kosong – di dalam dunia yang semakin mengetatkan undang-undang emission, Malaysia masih lagi di belakang dan sangat melucukan apabila ada menteri yang mahu berfikir tentang kereta terbang pula.
Fakta yang mana bahasa Malaysia tidak ada perkataan untuk emission adalah bukti yang mana negara ini masih jauh ketinggalan dalam usaha menggunakan kenderaan yang lebih mesra alam.
n HEZERI SAMSURI ialah Penganalisis permotoran.
Undang-undang perlu wujud untuk melindungi pengguna yang lain. Ini masih tidak wujud untuk kereta terbang, di mana-mana negara di dalam dunia pun. Saya pasti menteri yang mencadangkan ini memahami betapa sukarnya untuk mengolah akta perundangan baharu untuk kereta terbang.











