CYBERJAYA 9 Mac – Rangka inisiatif bagi memudahkan golongan pertengahan (M40) memiliki rumah dijangka siap menjelang Mei ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, langkah berkenaan bagi membantu golongan terbabit dalam menangani isu pemilikan rumah.
“Inisiatif kepada kumpulan M40 sebenarnya diperluaskan daripada program B40 cuma, M40 ini ada dua kategori iaitu atasan dan bawahan yang membabitkan kategori berpendapatan antara RM3,000 hingga RM5,000 seterusnya RM5,000 hingga RM10,000.

“Oleh itu kita akan lihat bagaimana untuk membantu mereka dengan rumah mampu milik berdasarkan pendapatan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita pada majlis penutup kempen global #KitaSemuaMaryam, di sini hari ini.
Pada 7 Mac lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengumum akan memperkenalkan inisiatif atau skim khas bagi memudahkan golongan pertengahan atau sederhana (M40) memiliki kediaman sendiri.
Menurut Zuraida, pihak kementerian kini dalam proses merangka inisiatif berkenaan dan akan mendapatkan kerjasama daripada beberapa agensi berkaitan.
Beliau dipetik berkata, kerajaan bukan saja prihatin terhadap golongan berpendapatan rendah (B40), tetapi golongan M40 yang dilihat turut berdepan dengan cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.











