SHAH ALAM – Polis memburu dua penjenayah berbaju Melayu bersenjatakan parang selepas menyamun sebuah kedai serbaneka di Jalan Gelama, Seksyen 17 di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, kedai serbaneka itu mengalami kerugian RM710.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian terdapat dua pekerja di bahagian kaunter dan beberapa pelanggan sedang beratur untuk membuat pembayaran.
Katanya, dua suspek memakai topi keledar dengan pengadang gelap dan bersenjatakan parang kemudiannya dikatakan secara tiba-tiba meluru masuk kedai itu.
“Mereka yang memakai baju Melayu masing-masing berwarna biru cair kemudiannya telah melarikan tiga kartun rokok Dunhill bernilai RM510 dan wang tunai RM200 dari laci kaunter.
“Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dialami oleh pekerja dan pelanggan di kedai tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, kedua-dua suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 dengan semakan nombor pendaftaran mendapati adalah palsu.
Jelas Baharudin, pihaknya telah mengenal kedua-dua suspek dengan usaha mengesan mereka sedang giat dilakukan polis.
“Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Ravind ditalian 012-2633203 atau 03-55202222.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan samun berkumpulan dan bersenjata,” katanya.
Terdahulu, video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi 57 saat berhubung kejadian itu tular di laman sosial Facebook sejak semalam. – K! ONLINE











