BALIK PULAU – Seorang pesara guru yang dilaporkan hilang kira-kira seminggu lalu akhirnya ditemui dalam keadaan sudah meninggal dunia di kawasan hutan di Bukit Cengkih di sini hari ini.
Mayat warga emas itu, Yahaya Mohamed, 80, ditemui kira-kira pukul 4.30 petang oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan lereng bukit tidak jauh dari tempat keretanya ditemui kelmarin.
Difahamkan, mayat mangsa ditemui di kawasan curam dipercayai terjatuh akibat tergelincir.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A.A. Anbalagan ketika dihubungi berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Balik Pulau di sini untuk urusan bedah siasat.
Terdahulu, kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu Yahaya ditemui oleh orang awam kira-kira pukul 1 petang kelmarin sebelum pasukan SAR melakukan pencarian di kawasan sekitar.
Kosmo! Online pada Isnin lalu melaporkan seorang pesara guru, Yahaya Mohamed, 80, dipercayai hilang apabila dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar bersendirian dari rumahnya di Hilir Sungai Burung di sini.
Warga emas itu yang mempunyai masalah ingatan dikatakan mahu pergi ke rumah kenalan bernama Kak Teh di Kampung Terang di sini untuk memberi makanan ayam daripada lebihan makanan. – K! ONLINE











