LAUSANNE, Switzerland 9 Mac – Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengesahkan harapan karate dan skuasy untuk disenaraikan sebagai salah satu acara yang dipertandingkan di Sukan Olimpik Paris pada 2024 sudah tertutup.
Ketua Bahagian Sukan IOC, Kit McConnel memberitahu, ketika ini sudah terlambat untuk melakukan penambahan acara dan mempertimbangkan rayuan dua jenis sukan tersebut.
“Sebaik kertas cadangan asal siap, segala rayuan sudah tertutup. Prosedur di sini sudah jelas malah kami sudah membuat penjelasan bahawa IOC tidak boleh lagi mempertimbangkan untuk menambah acara sebaliknya hendak buang lagi adalah.
“Kertas cadangan terakhir akan dibincangkan semasa mesyuarat suruhanjaya eksekutif. Jika ada yang dicadang diluluskan, sukan ini akan ditapis lagi. Keputusan terakhir akan diumumkan pada Disember 2020,” katanya.
Karate dan skuasy tiada langsung berada dalam kertas cadangan terakhir itu tetapi delegasi mereka terus berusaha memujuk dan merayu dengan sanggup datang ke Paris minggu ini.
Sebaliknya kertas cadangan tersebut hanya mengandungi sukan seperti breakdance, panjat dinding, luncur air dan papan luncur yang masih baharu di peringkat pertimbangan sahaja untuk dibincangkan pada mesyuarat IOC di Lausanne pada 26 hingga 28 Mac ini.
Sehingga ini penganjur Sukan Olimpik 2024 telah menyenaraikan hanya 28 sukan membabitkan 319 acara yang akan dipertandingkan tetapi tidak termasuk empat sukan dalam kertas cadangan terakhir itu. – AFP











