Mana perlu ditakutkan, kerjasama UMNO-Pas atau helah DAP? - Utusan Malaysia

Mana perlu ditakutkan, kerjasama UMNO-Pas atau helah DAP?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMIMPIN DAP selalu mengata UMNO yang kerja parti itu menghasut orang Melayu takutkan mereka. Namun awas, pepatah Melayu ada mengingatkan perihal telunjuk lurus kelingking berkait selain keadaan ‘mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih’.

Kalau menilai respons pemimpin DAP berhubung kerjasama UMNO-Pas, memang terserlah strategi politik mereka. UMNO-Pas terus diperlihatkan sebagai ‘mengancam’ bukan Melayu sambil DAP mempertikaikan MCA dan MIC yang kekal bersama Barisan Nasional (BN).

Setakat ini, dua komen paling menimbulkan kecaman ramai. Pertama, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengenai ‘perisytiharan perang’ yang kemudian diperbetulkan kepada menyasarkan bukan Melayu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kini, Timbalannya, Nga Kor Ming pula menjadi kontroversi dalam media sosial dengan istilah Taliban.  Warganet pening apa dimaksudkan Taliban kalau UMNO-Pas perintah kerana di mana Taliban dalam pemerintahan Pas di Kelantan yang sudah berdekad lamanya.

Kor Ming dalam ciapan Twitter terbaharu menegaskan beliau bekerja keras untuk perpaduan dan mendakwa tidak pernah memanggil mana-mana kaum sebagai ‘pendatang’ seperti dilakukan pemimpin UMNO.

Sebenarnya, MCA dan MIC sudah lama menjadi mangsa kepada taktik DAP supaya bukan Melayu takut atau senang cakap ‘benci’ kepada UMNO dan keputusan pilihan raya umum sejak 2008 menjadi bukti.

Akibatnya, ada pemimpin MCA dan MIC yang ‘hampir lemas’ itu ada kala cuba menari mengikut rentak DAP tetapi jangan disalahkan dua parti ini, sebaliknya fahamilah situasi mereka.

Dan kali ini, ramai mula tersedar dengan strategi politik DAP. Helah mereka entah bagaimana boleh terdedah. Buatlah kenyataan dalam bahasa apa pun, ada sahaja media yang lapor.

Maka, bukan sikit yang mempertikaikan penggunaan ayat keterlaluan dalam ulasan pemimpin DAP mengenai kerjasama UMNO-Pas. Jadi biarlah dengan DAP, lama-lama taktik itu nampaknya hampir menjadi senjata makan tuan.

UMNO, MCA dan MIC harus kekal dengan ideologi BN, berkongsi kuasa mentadbir negara berteraskan Perlembagaan Persekutuan sambil perlu terbuka kepada kerjasama dengan mana-mana musuh politik Pakatan Harapan (PH) jika mahu kembali ke Putrajaya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini