Pencemaran Sungai Kim Kim, episod hitam program pemuliharaan sungai - Utusan Malaysia

Pencemaran Sungai Kim Kim, episod hitam program pemuliharaan sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 9 Mac – Kejadian pencemaran di Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang disifatkan sebagai satu episod hitam dalam program pembangunan semula atau kesedaran awam mengenai pemuliharaan sungai dan sumbernya kerana tidak dihayati sebaiknya.

Pensyarah Sekolah Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Ir. Dr. Mohd. Fadhil Md. Din berkata, insiden itu juga menyebabkan usaha berterusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri untuk memulihkan sungai itu tergendala, malah mengambil lebih masa bagi meningkatkan kualiti seperti yang disasarkan kerajaan negeri.

Menurutnya, penilaian menerusi projek kelestarian dijalankan UTM di Sungai Kim Kim yang sudah lama tercemar sebelum ini menunjukkan JAS negeri berjaya menurunkan tahap penilaian sungai itu daripada tahap lima kepada tahap empat pada tahun lalu, merupakan penanda aras keselamatan sumber air boleh dipertingkatkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Adalah tidak adil kita menuding jari mempertikai perkara yang telah berlaku, biarlah pihak berkuasa terlibat menjalankan siasatan tetapi banyak pengajaran yang boleh diambil daripada insiden itu termasuk memperhebatkan program kesedaran dan kelestarian pemegang taruh yang terlibat.

“Usaha membersihkan sungai tidak boleh bergantung kepada pihak JAS sahaja tetapi perlu melibatkan pelbagai pihak, usaha itu termasuk membantu mengubah mentaliti masyarakat mengenai pentingnya untuk menjaga alam sekitar termasuk sungai kerana mentaliti tidak hadir dalam tempoh singkat.

“Penjiwaan semangat mencintai sungai telah lama dilaksanakan menerusi pelbagai aktiviti, ia tidaklah gagal, tetapi mentaliti berpuluh tahun sejak negara mencapai kemerdekaan masih di tahap sederhana,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini sebentar tadi.

Tambahnya, rakyat yang menjadi pelopor, pemantau, penyedia dan peneman setia menjaga keindahan sungai serta kepelbagaiannya perlu merubah mentaliti dengan membina jati diri dan bukan hanya terbeban kepada akta, garis panduan serta meletakkan 100 peratus beban kepada pihak berkuasa.

Justeru, beliau mencadangkan supaya satu jawatankuasa tidak berstruktur seperti dilaksanakan di beberapa negara maju ditubuhkan bagi memperkasa program dan meningkatkan kepedulian masyarakat mengenai isu pencemaran sungai seperti itu.

“Golongan pemikir sebelum ini pernah mencadangkan supaya pesalah pencemar alam sekitar dikategorikan sebagai ‘jenayah berhati hitam’ dan wajar ada klausa perundangan khas kerana jenayah seperti itu mengalami impak berantai, sukar dipulihkan selain kualiti alam sekitar tidak dapat dikembalikan ke tahap asal,” katanya. UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini