Mangsa gas sisa kimia Sungai Kim Kim meningkat 79 orang - Utusan Malaysia

Mangsa gas sisa kimia Sungai Kim Kim meningkat 79 orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa terhidu gas daripada sisa kimia yang dibuang di Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang meningkat kepada 79 orang sehingga malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr. Sahruddin Jamal berkata, jumlah yang dicatat setakat pukul 9.30 malam itu menyaksikan pertambahan 31 orang.

Beliau berkata, keseluruhan 79 orang itu membabitkan 32 yang dirawat sebagai pesakit luar manakala 47 lagi dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) sejak kejadian dilaporkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Daripada 47 yang dirawat di HSI, 16 sudah dibenarkan pulang manakala 31 yang lain masih berada di wad termasuk enam ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dilaporkan stabil.

“31 orang berkenaan melibatkan dua kanak-kanak, 15 pelajar sekolah serta 14 orang dewasa termasuk tiga petugas perubatan,” katanya kepada pemberita selepas program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Negeri Johor 2019 di Taman Kota Masai, di sini hari ini.

Sementara itu, Sahruddin yang turut mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bencana Daerah Johor Bahru malam tadi berkata, kerja pembersihan sisa buangan kimia di sepanjang 1.3 kilometer Sungai Kim Kim akan dilakukan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, kontraktor berpengalaman dalam melakukan kerja pelupusan bahan kimia terjadual akan dilantik bagi melakukan pembersihan tersebut.

“Lokasi utama pembuangan sisa kimia telah dibersihkan manakala pembersihan sisa-sisa di sepanjang 1.3 kilometer dari lokasi pembuangan sehingga ke hilir sungai akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Dalam mesyuarat semalam (malam tadi), semua agensi terlibat antaranya pihak berkuasa tempatan, Jabatan Alam Sekitar dan Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (Hazmat) telah dimaklumkan dan kerja pembersihan sisa-sisa buangan itu akan dijalankan,” katanya.

Pada Khamis, seramai 1,400 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih diarah mengosongkan kawasan sekolah susulan ada pelajar mengalami sesak nafas, muntah dan pengsan selepas terhidu gas dipercayai daripada bahan kimia yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini