KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga tempatan maut selepas kereta yang dipandunya melanggar pokok dalam kejadian di Jalan 1/27, Jalan Gembira di sini awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, mangsa, Kong Chien Ling, 29, yang memandu kereta jenis Toyota Vios berwarna hitam terbabas dan melanggar sebatang pokok di tepi jalan di lokasi kejadian.
“Akibat perlanggaran tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di kepalanya dan disahkan meninggal di tempat kejadian oleh pihak ambulans yang tiba di sana.
“Lokasi kemalangan adalah jalan selekoh dan terdapat satu lorong sahaja. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara bahaya sehingga menyebabkan kematian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, menurut Jurucakap Pusat Operasi Gerakan Bomba Kuala Lumpur, seramai sembilan anggota bomba dan sebuah jentera serta satu kenderaan ERMS dari Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan tentang kejadian tersebut dan membantu untuk mengeluarkan mangsa dari kereta sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan ambulans di situ. – K! ONLINE











