SAINGAN Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) yang membuka tirai pada Grand Prix (GP) Qatar menyaksikan Malaysia bukan hanya menampilkan seorang pelumba kelas perdana bahkan sebuah pasukan baharu milik negara turut akan berentap di Litar Antarabangsa Losail esok.
Pelumba sulung MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah, 24, yang bersaing buat musim kedua kali ini akan bersama pasukan baharu, Red Bull KTM Tech3 dengan gandingan pelumba Portugal, Miguel Oliveira, 24.
Meskipun bersama pasukan baharu, Hafizh tetap gembira dan berkeyakinan mampu meraih keputusan positif bersama Red Bull KTM Tech3.
“Saya menaruh harapan pada perlumbaan pertama musim ini. Kami sudah menjalani ujian pramusim yang sukar dan cuba menyesuaikan diri dengan jentera. Ia cukup baik dan saya rasa semakin memahami jentera walaupun kami masih agak perlahan.
“Bagaimanapun, saya percaya kami dapat mencapai tahap kemuncak suatu hari nanti dengan kemampuan hebat kru pasukan ini. Jadi, kami akan terus bekerja keras untuk memahami segala-galanya selain melapangkan pemikiran dan bersedia untuk berlumba.
“Kita lihat apa yang kami boleh lakukan,” kata Hafizh menjelang perlumbaan GP Qatar baru-baru ini.
Sementara itu, pasukan milik negara, Petronas Yamaha Sepang Racing Team (Petronas Yamaha SRT) yang merupakan pasukan satelit terbesar musim ini akan bersaing dalam tiga kategori.
Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Ahmad Razali berkata, pasukan tersebut mempunyai kekuatan dengan kepakaran 50 kru daripada 10 negara berbeza termasuk Malaysia, Itali, Brazil, Perancis, Jepun dan Scotland.
Sudah tentu pelumba utama Petronas Yamaha SRT dari Itali, Franco Morbidelli, 24, akan menjadi tumpuan serta taruhan utama buat pasukan satelit negara itu.
“Saya tidak sabar untuk bersaing pada perlumbaan pertama MotoGP pada GP Qatar. Kami tidak menetapkan sebarang objektif sehingga kami memperoleh hasil (ujian pramusim) di Litar Antarabangsa Losail dan menggunakannya untuk meraih keputusan positif.
“Kami juga sudah meningkatkan kepantasan pada hari kedua ujian di Qatar dan saya fikir kelajuan semua pelumba semakin rapat. Kami akan cuba menggunakan kelebihan jentera Yamaha yang berfungsi baik di litar ini,” kata Morbidelli.











