LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengesahkan pasukannya telah mendapat khabar gembira apabila pemain serba boleh, Alex Oxlade-Chamberlain kembali menyertai sesi latihan bersama skuad utamanya bermula minggu ini.
Chamberlain sebelum ini terpaksa berehat hampir setahun selepas mengalami kecederaan lutut ketika membantu The Reds menewaskan AS Roma pada aksi separuh akhir Liga Juara-Juara, April tahun lepas.
Kini, bekas pemain Arsenal itu hampir pulih sepenuhnya namun Klopp enggan terburu-buru untuk menyenaraikannya dalam kesebelasan utama menentang Burnley pada aksi Liga Perdana England (EPL) malam esok kerana bimbang ke-adaan pemain muda itu yang masih belum cergas sepenuhnya.
“Chamberlain sudah menjalani sesi latihan minggu ini bersama skuad utama tetapi saya tidak mahu terburu-buru untuk menurunkannya dalam aksi menentang Burnley, Ahad nanti (esok).
“Kemungkinan besar dia akan diturunkan pada aksi skuad remaja kami minggu ini dan saya mahu melihat perkembangannya dari semasa ke semasa. Mungkin masih terlalu awal untuk terus memaksa-nya beraksi secara kompetitif.
“Namun, saya sangat gembira kerana kehadirannya nyata memberi suntikan semangat buat rakan-rakan lain dalam misi merebut gela-ran juara musim ini. Semangat yang dimiliki Chamberlain wajar dipuji kerana bukan mudah untuk kembali aktif selepas berehat panjang,” kata Klopp.
Skuad The Reds dalam misi meraih gelaran liga buat pertama kali dalam tempoh 29 tahun namun terpaksa berpuas hati dengan kedudukan di tangga kedua liga selepas dibezakan satu mata di belakang pendahulu, Manchester City yang merampas kedudukan tersebut daripada Liverpool minggu lalu. – Agensi











