LIPIS 8 Mac – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menempelak Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mempertikaikan kerjasama UMNO dan Pas sedangkan DAP sebelum ini pernah menerima ideologi parti Islam itu ketika berada dalam Pakatan Rakyat.
Najib berkata, meskipun kenyataan itu bersifat provokasi keterlaluan dan berunsur hasutan, beliau percaya Guan Eng yang juga Menteri Kewangan tidak akan dikenakan tindakan.
“Itu merupakan satu kenyataan yang tidak masuk akal dan memang boleh dianggap sebagai satu kenyataan provokasi keterlaluan, tidak ada apa-apa yang boleh dipertikaikan kerjasama UMNO dan Pas, tafsiran itu tidak betul.
“Ideologi Pas telah diterima DAP satu ketika dahulu, jadi untuk dia pertikai Pas hari ini memang tidak boleh diterima sama sekali. Ini sebagai satu kenyataan yang boleh dianggap hasutan dan boleh disabitkan dengan satu tindakan walaupun kita percaya akhirnya pihak berkuasa tidak akan mengambil tindakan,” katanya pada Majlis Kenduri Sekampung di pekarangan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Sungai Koyan di sini hari ini.
Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Menurut Najib, kerjasama antara UMNO dan Pas adalah untuk kebaikan dan penyatuan ummah tetapi tidak menjejaskan hak-hak kaum lain yang turut terus dijaga.
Dalam pada itu, mengulas mengenai Felda, Najib berkata, sekiranya Barisan Nasional (BN) masih berkuasa pelbagai perancangan telah dilakukan termasuk mendapatkan pinjaman sebanyak RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membangunkan Felda.
Katanya, antara usaha yang dirancang BN termasuklah memajukan lagi Felda dan memastikan kestabilan harga kelapa sawit dengan memastikan dipasarkan ke pasaran antarabangsa khususnya ke China.
“Dalam lawatan saya ke Sungai Koyan hari ini ramai yang mengeluh bahawa mereka rindu pada zaman BN sebab mereka menghadapi keperitan hidup yang amat sangat,” ujarnya.











