Kemalangan punca model Belanda mati - Utusan Malaysia

Kemalangan punca model Belanda mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 Mac – Keputusan Mahkamah Koroner berhubung kematian model warga Belanda, Ivana Esther Robert Smit yang ditemukan maut dalam keadaan berbogel di balkoni sebuah unit kondominium dua tahun lalu menimbulkan pelbagai tanda tanya terutamanya berhubung siasatan pihak polis.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut keputusan Koroner Mahyon Talib, terdapat bukti ketara serta alasan yang boleh membangkitkan kecurigaan mengenai penjelasan yang diberikan pasangan Alex Johnson dan Luna Almazkyzy namun pegawai penyiasat masih tidak mengubah corak siasatan daripada kematian mengejut (SDR) kepada pembunuhan.

“Ia adalah satu misteri dan sememangnya satu tragedi apabila pegawai penyiasat menolak atau tidak melakukan perkara yang betul. Beliau memilih untuk tidak mengubah kejadian ini kepada satu penyiasatan pembunuhan.

“Beliau juga membiarkan seorang anggota polis menjalankan siasatan atas dasar SDR, bertemu dengan ibu bapa Ivana untuk menyerahkan barangan peribadi mangsa di rumah mayat dan memaklumkan anak perempuan mereka telah membunuh diri dan terus menutup kes tersebut sebagai kematian atas sebab semula jadi atau bunuh diri.

“Saksi polis juga dalam keterangan mereka menyatakan terdapat sebab-sebab dan kecurigaan untuk menjalankan siasatan pembunuhan dan bukannya SDR. Namun sebagai seorang anggota polis yang berpangkat sarjan, dia (saksi polis) terpaksa menurut arahan pegawai atasan,” katanya.

Selain itu, Mahkamah Koroner turut menyatakan terdapat keterangan yang menunjukkan tanda pergelutan pada mayat Ivana termasuk kesan asid deoksiribonukleik (DNA) Alex di bawah kuku mangsa.

“Berdasarkan keterangan saksi, tanda cengkaman di lengan, trauma belakang kepala, botol pecah dan DNA Alex di bawah kuku Ivana mencadang­kan terdapat beberapa pergelutan atau perkelahian berlaku antara Alex, Ivana dan Luna sebelum kematian mangsa. Kita tidak dapat mengetahui apa sebenarnya telah berlaku antara mereka,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Koroner di sini hari ini memutuskan kematian remaja berusia 19 tahun itu yang maut terjatuh dari sebuah unit Kondominium CapSquare Residences di Dang Wangi, di sini sebagai kematian disebabkan kemalangan (misadvanture) dan tiada sesiapa yang boleh dikaitkan secara jenayah dalam menyebabkan kematiannya.

Mahkamah turut memutuskan punca kematian Ivana ialah akibat jatuh dari tempat tinggi di antara pukul 6.50 pagi dan sebelum 2 petang, 7 Disember 2017 dan mayatnya ditemukan di tengah-tengah longgokan serpihan runtuhan balkoni di tingkat enam, Kondominium CapSquare Residences.

Prosiding inkues bagi menentukan punca sebenar kematian model berkenaan dikendalikan oleh Pegawai Pengendali, N. Joy Jothi manakala peguam Sankara Nair mewakili keluarga mangsa telah bermula pada 8 Ogos tahun lalu dengan 22 saksi dipanggil untuk memberi keterangan.

Pada 7 Disember 2017, akhbar melaporkan mayat wanita yang dipercayai di bawah pengaruh dadah dan alkohol itu ditemukan tersangkut di balkoni sebuah unit kediaman di tingkat enam kondominium tersebut tanpa berpakaian kira-kira pukul 12 tengah hari.

Difahamkan, pada malam sebelum kejadian, mangsa telah keluar berhibur di pusat hiburan bersama pemilik kediaman di tingkat 20 itu yang merupakan seorang lelaki warga Amerika Syarikat dan isterinya warga Kazakhstan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini