SEBAIK kaki melangkah masuk ke pekarangan Masjid Wilayah Persekutuan yang terletak di Jalan Duta, Kuala Lumpur, wanita yang berasal dari Australia itu berasa kagum melihat seni bina luaran masjid tersebut.
Hatinya bagai tidak sabar masuk ke dalam masjid untuk melihat apa yang ada di dalam rumah Allah tersebut.
Sebelum dibenarkan masuk ke dalam rumah Allah tersebut, Jessica Brooks, 32, diarahkan oleh pengawal bertugas untuk menyarung jubah dan tudung.
Sebagai tanda hormat, dia menyarung pakaian tersebut seperti yang diarahkan.
“Ini adalah kali pertama saya melangkah masuk ke dalam masjid. Saya rasa teruja untuk melihat apa yang ada di dalamnya.
“Seni bina dalaman dan luaran masjid ini sungguh cantik dan mempesonakan mata. Apabila melawat masjid ini, ia membuatkan saya mahu belajar lebih mendalam lagi mengenai agama Islam,” katanya.
Hatinya tergerak untuk melawat masjid itu setelah diberitahu oleh rakannya yang pernah melawat Malaysia.
Brooks menjelaskan, kunjungannya ke masjid itu menjadi mudah apabila dibantu oleh sukarelawan yang bertindak sebagai pemandu arah.
“Sukarelawan ini begitu mesra dan mereka berkongsi banyak maklumat mengenai masjid dan agama Islam.
“Jika ada kesempatan pada masa hadapan, saya ingin datang ke masjid ini lagi dan membawa bersama ahli keluarga yang lain,” tuturnya.
Dalam pada itu, menjadi kebiasaan buat Razali Harun, 80, untuk hadir ke Masjid Wilayah Persekutuan dua kali seminggu.
Tujuannya adalah untuk bertugas sebagai sukarelawan Program Pelancongan Masjid (MTP), Masjid Wilayah Persekutuan.
Dia bertanggungjawab untuk membawa pelancong-pelancong mengelilingi setiap inci ruang di masjid tersebut.
“Saya mula menjadi sukarelawan MTP ini sejak tahun 2014. Semuanya terjadi atas aturan Allah.
“Pada mulanya sahabat saya yang menjadi sukarelawan pelancongan di masjid ini. Dia kemudiannya mengajak saya untuk turut serta. Tanpa berfikir panjang, saya mengambil keputusan untuk menyertainya,” kata bekas pensyarah di sebuah kolej swasta itu.
Masa terluang
Tambahnya, dia gembira menjadi sebahagian daripada sukarelawan pelancongan masjid di Masjid Wilayah Persekutuan.
Selain dapat mengisi masa terluang, ia menjadi satu cara untuk Razali kekal sihat dan cergas pada usia emas.
“Dengan menjadi sukarelawan MTP, ia membolehkan saya untuk banyak berjalan. Setiap kali bertugas saya membawa pelancong yang berbeza mengelilingi masjid tersebut antara dua hingga empat kali.
“Jika ada waktu terluang atau pelancong tidak ramai saya akan menghabiskan masa dengan membaca al-Quran di masjid ini,” jelasnya.
Razali turut gembira apabila pelancong mengajukan soalan kepadanya kerana ia tanda mereka tertarik dengan apa yang diceritakannya.
Selalunya ketika membawa pelancong Razali akan menerangkan tentang masjid tersebut dan amalan orang Islam di masjid.
“Saya juga membawa pelancong ini sehingga ke ruang solat. Ada antara mereka begitu teruja apabila melihat ruang solat. Saya juga menerangkan tentang solat yang boleh dikaitkan aspek saintifik.
“Sebagai contoh, bersujud memberi manfaat yang baik untuk kesihatan,” katanya.
Penubuhan
MTP Masjid Wilayah Persekutuan telah bermula sejak Julai 2009.
Pada waktu itu hanya seorang sukarelawan yang berminat iaitu pengerusi pertama MTP, Bob Borhanuddin.
Pengerusi MTP, Masjid Wilayah Persekutuan, Dr. Wan Nor Aidah Wan Ibrahim berkata, selepas itu jumlah sukarelawan MTP bertambah dan kini lebih 80 sukarelawan yang menyumbang masa dan tenaga mereka dengan menyertai MTP.
Tambahnya, dia menyertai MTP sejak tahun 2010 setelah diajak oleh rakannya yang terlebih dahulu menjadi sukarelawan MTP.
Wan Nor Aidah menjelaskan, kesemua sukarelawan MTP akan diberi latihan terlebih dahulu sebelum dibenarkan untuk membawa pelancong masuk ke masjid.
Latihan tersebut merangkumi cara-cara untuk menguruskan pelancong serta maklumat apa yang perlu disampaikan.
“Setiap sukarelawan MTP ini perlu menyumbang masa minimum selama dua jam seminggu untuk bertugas.
“Selalunya mereka sudah mengetahui akan tugas masing-masing kerana kami turut menyediakan jadual tugasan,” katanya.
Tambahnya, sukarelawan MTP terdiri daripada pelbagai latar belakang ada yang pernah berkhidmat sebagai peguam, jurutera, akauntan dan lain-lain lagi.
Mereka langsung tidak dibayar dan berkhidmat atas kerelaan hati masing-masing,” katanya yang merupakan pengerusi kelima untuk MTP.
Sukarelawan MTP ini akan membawa pelancong mengikut laluan yang dibenarkan sahaja.
Kebiasaannya, untuk satu sesi lawatan ia akan mengambil masa antara 30 hingga 45 minit.
Sementara itu, bagi Nurwidar Nawawi, 48, dia gembira kerana Allah telah memilihnya untuk menjadi sebahagian sukarelawan MTP di Masjid Wilayah Persekutuan.
Sumbangan
Tegasnya, itu merupakan salah satu cara untuk dia mencari bekalan untuk akhirat kelak.
“Bagi saya dengan melakukan kerja sebegini ia menjadi satu usaha dakwah terhadap agama.
“Bila Allah telah gerakkan hati kita untuk menjadi perantara untuk berdakwah saya merasakan peluang ini harus diambil,” kata ibu kepada empat cahaya mata itu yang menjadi sukarelawan sejak dua tahun lalu.
Dia berkata, kerja tersebut dilakukan atas kerelaan hati dan peluang untuk menyumbangkan sesuatu buat agama.
“Kini saya bekerja sendiri dan boleh mengatur masa untuk terlibat secara aktif menjadi sukarelawan di masjid ini,” tegasnya.
Nurwidar menjelaskan, pengalaman manis sepanjang menjadi sukarelawan adalah apabila pelancong ingin mengetahui lebih tentang agama Islam.
“Apabila mereka tertarik ia membuatkan saya ingin berkongsi lagi banyak tentang agama kita,” jelasnya.
Sementara itu, antara cabaran yang dihadapi olehnya sepanjang terlibat menjadi sukarelawan itu adalah masalah komunikasi.
Baginya, jika pelancong itu datang dari Eropah ia tidak sukar kerana mereka boleh untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.
Bagaimanapun, pelancong Jepun dan Korea Selatan agak sukar untuk berkomunikasi kerana mereka tidak fasih berbahasa Inggeris.
Sukarelawan Program Pelancongan Masjid berkhidmat tanpa bayaran dengan membawa pelancong melawat Masjid Wilayah Persekutuan dan menerangkan tentang keunikan masjid serta agama Islam.











