CBP tawar kerja kepada gadis dipukul bapa - Utusan Malaysia

CBP tawar kerja kepada gadis dipukul bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR 8 Mac – Kisah seorang gadis yang dipukul bapanya dengan tukul pemecah dinding di Parit Sungai Melan, Kuala Kurau dekat sini pada Isnin lalu, mendapat perhatian Co-opbank Pertama (CBP) apabila organisasi itu tampil menawarkan sumbangan kewangan bagi meringankan kos perbelanjaan perubatan serta tawaran pekerjaan kepada mangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…
Nur Amanina ketika dibawa ke hospital untuk rawatan
Nur Amanina ketika dibawa ke hospital untuk rawatan 

Pengerusinya, Kamari Zaman Juhari berkata, mangsa, Nur Amanina Nordin, 24, merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam yang baru menamatkan pengajian pada Januari lalu dengan keputusan cemerlang.

“Saya percaya mangsa mempunyai potensi besar untuk menjadi seorang pekerja cemerlang. CBP mempunyai cawangan di Ipoh, Taiping dan Nibong Tebal yang berhampiran dengan rumah mangsa, sekiranya dia ingin berkhidmat dengan CBP.

“Ini secara tidak langsung memudahkannya untuk berada dekat dengan keluarga memandangkan ibunya telah meninggal dunia pada tahun 2010. CBP amat bersimpati dengan insiden yang berlaku serta mendoakan agar mangsa cepat sembuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat serta menyampaikan bantuan kepada  waris keluarga mangsa di Parit Sungai Melan, Kuala Kurau dekat sini hari ini dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Mohd Nor Abd Razak.

Nur Amanina yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik, ketika ini dilaporkan berada dalam keadaan stabil di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh dan dijangka dipindahkan ke Hospital Parit Buntar pada minggu depan sementara ayahnya, Nordin Idak, 58, masih ditahan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian.

Sementara itu, abang mangsa, Mohamad Fazwan Nordin, 28, merasa bersyukur dengan pemberian sumbangan dan tawaran pekerjaan tersebut.

“Kalau boleh, saya mahu dia (Amanina) dan ayah rapat kembali. Saya difahamkan dia telah mendapat dua tawaran kerja dan sedang dalam pertimbangan untuk membuat keputusan.

“Amanina tak rasa ayah dia sanggup buat macam itu sebab dia tahu ayah dia macam mana. Ayah pun sudah sedar, mungkin dia rasa bersalah dan sebagai adik-beradik, kami ingin tarik balik kes ini,” katanya.

Media ini sebelum melaporkan gadis berkenaan cedera parah di kepala selepas dipukul oleh ayahnya yang baru pulang bekerja sebagai tukang rumah, ketika sedang mengaji al-Quran secara tiba-tiba, antara pukul 5.30 hingga 6.30 petang.

Melihat kepada keadaan mangsa yang parah, ayah mangsa kemudian mencederakan diri sendiri dengan menghentakkan kepalanya ke dinding rumah sehingga menyebabkannya menerima lima jahitan di kepala dan retak tulang tapak tangan kiri. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini