SYDNEY 7 Mac – Ahli keluarga mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak lima tahun lalu menggesa kerajaan Malaysia supaya lebih proaktif dan menunjukkan komitmen lebih serius selepas Kementerian Pengangkutan memberi bayangan pencarian baharu jet penumpang itu akan dilakukan.
K.S. Narendran yang kehilangan isterinya dalam pesawat itu berkata, kerajaan Malaysia tidak hanya menunjukkan ‘sikap pasif’ sebaliknya perlu mendahului usaha pemburuan baharu pesawat berkenaan.
Bercakap kepada The Guardian Australia, Narendran yang menyambut baik langkah kerajaan Malaysia berkata, dia bagaimanapun mahu melihat kerajaan mengambil langkah drastik dan serius berhubung pencarian itu.
“Saya tertarik dengan kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengenai syarikat penerokaan dasar laut dari Amerika Syarikat (AS), Ocean Infinity yang mungkin mempunyai teknologi baharu bagi membantu misi pencarian MH370,” katanya, hari ini.
Ahad lalu, Anthony Loke semasa bercakap pada majlis ulang tahun bagi memperingati tragedi MH370 yang kini memasuki tahun kelima esok berkata, pencarian pesawat MH370 akan diaktifkan semula jika kerajaan menerima cadangan khusus dan bukti kukuh daripada mana-mana pihak berkaitan selain meneliti perjanjian dengan Ocean Infinity.
MH370 yang membawa membawa 239 orang penumpang dilaporkan hilang secara misteri daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China, pada 8 Mac 2014.
Narendran menambah, kenyataan Loke tempoh hari itu seolah-olah memberi gambaran bahawa kerajaan Malaysia tidak mengambil sebarang langkah ke arah pencarian pesawat tersebut.
Pada masa yang sama Narendran turut berharap agar kerajaan dapat bersifat lebih telus dengan menyalurkan maklumat-maklumat termasuk radar dan data satelit.
Pada 29 Mei lalu, Ocean Infinity mengesahkan bahawa misi pencarian bangkai pesawat MH370 yang hilang telah berakhir selepas menjalankan pencarian dan mengumpul data berkualiti tinggi meliputi kawasan seluas lebih 112,000 km persegi. –AGENSI











