IPOH 7 Mac – Sahabat Alam Malaysia (SAM) berharap kerajaan negeri melibatkan masyarakat khususnya komuniti setempat dalam usaha pemulihan kawasan lereng Bukit Kledang yang terjejas akibat diteroka secara haram sebelum ini.
Penyelidik Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, penglibatan masyarakat dapat menjimatkan kos dan pihaknya serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain sedia untuk menyumbangkan tenaga bagi usaha menanam semula pokok di kawasan yang terjejas.
Menurutnya, penanaman pokok boleh dibuat selepas kerja-kerja penstabilan semula tanah di kawasan yang diteroka selesai dijalankan.
“Daripada kerajaan negeri mengeluarkan tender tanam semula pokok kepada syarikat, lebih baik diadakan program penanaman semula pokok yang disertai masyarakat dan pemimpin kerajaan negeri.
“Selain menjimatkan kos penanaman pokok, juga secara tidak langsung akan merapatkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kawasan yang diteroka secara haram itu hari ini.
Beberapa NGO lain turut serta dalam program itu iaitu Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Persatuan Aktivis Sahabat Alam Malaysia (Kuasa) dan komuniti setempat serta pegawai dari Pejabat Menteri Besar Perak dan Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc).
Menurut Meor Razak, penglibatkan komuniti setempat dalam pemuliharaan tanah tersebut dapat mendidik masyarakat supaya menyumbangkan sesuatu kepada negeri.
Beliau berkata, jika ada sikap prihatin dan tanggungjawab dalam diri setiap masyarakat, kejadian pencerobohan tanah yang berlaku tidak akan berulang.
“Masyarakat boleh memberi sumbangan dengan membantu memulihkan kawasan yang diteroka secara haram ini, kos pokok disediakan kerajaan negeri manakala NGO bantu beri sumbangan berbentuk tenaga,” katanya.
Meor Razak turut mencadangkan agar kawasan yang sedang dipulihara ditanam semula dengan pokok hutan yang sesuai seperti meranti, keruing dan sebagainya.











