KUALA LUMPUR 7 Mac – Pasangan beregu campuran bebas, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying gagal meneruskan kemaraan di kejohanan badminton Siri Jelajah Dunia Super 1,000 All England selepas tewas di pusingan kedua, hari ini.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio yang juga pilihan kelima kejohanan tewas kepada juara dunia dua kali, Tontowi Ahmad yang kini bergandingan bersama pasangan baharu, Winny Oktavina Kandow 15-21, 21-16, 21-23.
Keputusan itu jelas memberi kesan kurang baik kepada Peng Soon-Liu Ying yang kini sedang mempersiapkan diri untuk berdepan aksi kelayakan Sukan Olimpik yang akan bermula Mei ini.
Sementara itu, gandingan beregu lelaki bebas, Goh V Shem-Tan Wee Kiong tampil cemerlang apabila menyingkirkan pilihan keempat dari Jepun, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe 21-18, 21-19 untuk melangkah ke suku akhir.
Keputusan itu menyaksikan mereka akan berdepan pilihan kelapan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto yang berjaya mengetepikan cabaran pasangan bukan pilihan dari China, Ou Xuanyi-Ren Xiangyu 13-21, 21-19, 23-21.-UTUSAN ONLINE











