JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor akan menunggu laporan keselamatan daripada pihak berkaitan sebelum menentukan pembukaan semula dua sekolah yang terjejas akibat pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, sebelum Ahad ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, pada ketika ini, kedua-dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Pasir Puteh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Pasir Puteh telah diarahkan ditutup buat sementara waktu.
“Kebetulan esok (Jumaat) dan lusa (Sabtu) tiada sesi pembelajaran di sekolah, tetapi untuk menentukan ia akan terus dibuka atau tidak pada Ahad, kita akan menunggu laporan daripada Jabatan Alam Sekitar negeri dan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
“Laporan (itu) penting untuk menjaga keselamatan mereka,” katanya kepada pemberita di Hospital Sultan Ismail selepas melawat mangsa-mangsa yang dirawat di hospital berkenaan, petang ini.
Turut bersama melawat mangsa ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor Dr Sahruddin Jamal dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang. – Bernama











