KUALA LUMPUR – Majlis Sukan Negara (MSN) tidak akan menggugurkan atlet-atlet negara dengan sewenang-wenangnya tanpa sebab yang munasabah, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
Merujuk kepada dakwaan bekas atlet berbasikal para negara, Mohamad Syazwan Roshdi dalam sebuah laporan portal tempatan, Ahmad Shapawi berkata, pihaknya akan menyediakan kemudahan latihan dan pertandingan kepada atlet yang sentiasa menunjukkan peningkatan prestasi dan mempunyai potensi untuk berjaya di peringkat antarabangsa.
Ahmad Shapawi menerusi satu kenyataan rasmi hari ini berkata, pemenang pingat emas berbasikal lebuh raya kategori C1, C2, C3 (pelbagai kecacatan anggota) Sukan Para ASEAN (APG) ke-9 itu sendiri telah maklum tentang limitasi peningkatan prestasi beliau sebelum digugurkan daripada program untuk 2019.
“Semasa perbincangan tentang karier beliau selepas tidak dilanjutkan kontraknya sebagai atlet, pihak MSN telah dimaklumkan bahawa beliau telah pun mempunyai pekerjaan sebagai jurujual di sebuah syarikat swasta dan pihak MSN tidak dimaklumkan langsung tentang masalah beliau terkandas dalam usaha mencari pekerjaan di Singapura.
“Mengenai dakwaan beliau bahawa dilayan seperti penjenayah apabila terpaksa diiringi pengawal keselamatan ketika memasuki premis MSN, ianya adalah merupakan prosedur biasa. Khususnya apabila atlet-atlet lain tidak berada di dalam bilik kerana menyertai pertandingan ketika beliau datang ke asrama untuk mengambil barang-barang beliau,” katanya. – Bernama











