ALOR GAJAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas sebanyak 30,000 biji telur gred A bernilai kira-kira RM10, 000 selepas dikesan dijual pada harga tidak munasabah dalam serbuan di sebuah kilang pengeluar telur di sini hari ini.
Ketua Seksyen Bekalan dan Harga Bahagian Penguat Kuasanya, Abd. Hafidz A. Rahim berkata, serbuan kira-kira pukul 11 pagi itu hasil aduan orang ramai berhubung harga telur yang meningkat sejak perayaan Hari Krismas lalu.
“Kita menerima aduan berhubung kenaikan harga telur yang begitu mendadak iaitu dari 30 sen sehingga 40 sen sebiji sejak akhir Disember lalu.
“Hasil serbuan di premis ini yang merupakan salah satu pengeluar terbesar, kita telah merampas 30,000 biji telur kerana dipercayai dijual pada harga tidak munasabah dan pengeluar akan diambil tindakan mengikut Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan operasi fasa kedua bersama 15 anggota penguat kuasa di kilang itu di sini tadi.
Difahamkan kilang yang beroperasi di Durian Tunggal itu mengeluarkan lebih 1 juta telur sehari sebelum diedarkan kepada rangkaian pemborong masing-masing termasuk domestik dan luar negara.
Mengulas lanjut, Abd. Hafidz berkata, rampasan tersebut merupakan sitaan pertama pada tahun ini dengan jumlah keseluruhan kesalahan mencatatkan sebanyak sembilan kes di bawah seksyen yang sama AKHAP.
“Sejak operasi pada 7 Disember lalu, sebanyak lapan kertas siasatan telah dibuka atas kesalahan pencatutan melibatkan lapan pengeluar telur di Melaka dan satu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Sabit kesalahan, syarikat berkenaan boleh didenda maksimum RM500,000 dan bagi kesalahan kali kedua dan berikutnya didenda tidak melebihi RM1 juta mengikut akta yang sama,” katanya.
Tambah beliau, sehingga 14 Disember lalu, pihaknya juga telah mengeluarkan 95 notis kepada pengeluar dan peladang bawah Seksyen 21 AKHAP 2011 membabitkan pemeriksaan ke atas 34 pengeluar dan peladang serta 61 pemborong di seluruh negara. – K! ONLINE











