Kanak-kanak berusia 3 tahun maut, abang parah motosikal dinaiki langgar pokok - Utusan Malaysia

Kanak-kanak berusia 3 tahun maut, abang parah motosikal dinaiki langgar pokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun menemui ajal apabila tercampak daripada motosikal yang ditunggang abangnya setelah melanggar sebatang pokok angsana dalam kejadian di Jalan Sentral 28, Taman Nusa Sentral di sini awal pagi semalam.

Mangsa, Muhammad Izharul Haq Abdul Mutalib disahkan meninggal dunia pada pukul 1 tengah hari ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru dekat sini.

Manakala abangnya, Muhammad Huzair Al-Hakim, 15, cedera parah pada kepala dan kini masih dalam keadaan koma dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital yang sama.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzhulkhairi Mukhtar berkata, ketika kejadian kedua-dua mangsa menaiki motosikal Honda EX5 pada pukul 2 pagi hari yang sama dari Jalan Sentral 28 menuju ke tempat bapa meniaga di Jalan Sentral 27.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, abangnya dipercayai gagal mengawal motosikal lalu terbabas ke bahu kanan jalan sebelum melanggar sebatang pokok.

“Akibat pelanggaran itu, kanak-kanak berusia tiga tahun yang duduk di bahagian bakul hadapan motosikal serta abangnya tercampak dan mengalami kecederaan parah,” katanya di sini hari ini.

Dzhulkhairi berkata, siasatan awal mendapati remaja yang menunggang motosikal itu tidak mempunyai lesen memandu dan tidak memakai topi keledar keselamatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini