Dirogol, dipukul guna kayu, pemutar skru - Utusan Malaysia

Dirogol, dipukul guna kayu, pemutar skru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 6 Mac – Seorang wanita menempuh detik hitam dalam hidupnya apabila dia bukan sahaja dirogol malah dipukul menggunakan kayu dan pemutar skru oleh lelaki dikenalinya dalam kejadian di Jalan Laksamana dekat Teluk Intan, Khamis lalu.

YAHYA ABDUL RAHMAN

Kesengsaraan wanita berusia 24 tahun itu yang dikurung dalam sebuah rumah oleh suspek bagaimanapun berakhir apabila dia meminta bantuan orang ramai selepas melarikan diri dari sebuah rumah di Jalan Kebun Limau, Teluk Intan, kelmarin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abdul Rahman berkata, dalam kejadian pada pukul 8 malam, mangsa yang sedang menunggang motosikal telah ditahan oleh suspek berusia 26 tahun dikenali sebagai Nan.

Menurutnya, suspek kemudian telah meminta mangsa membonceng motosikalnya menuju ke sebuah rumah di Jalan Laksamana, Teluk Intan dan wanita itu yang bersetuju telah meninggalkan motosikalnya di tepi jalan.

“Sejak dibawa ke rumah itu, mangsa dipaksa melakukan hubungan seks sebanyak tiga kali. Mangsa turut dipukul menggunakan tangan, kayu serta pemutar skru selain diugut akan dicederakan wajahnya dan dibunuh sekiranya melarikan diri,” katanya di sini hari ini.

Yahya memberitahu, disebabkan bimbang dengan ke­selamatan dirinya, mangsa yang bekerja di gerai makan tidak berani melarikan diri meskipun semasa ketiadaan suspek di rumah.

Ujarnya, mangsa bagaimanapun hanya bertindak kelmarin selepas suspek meninggalkannya di sebuah rumah di Jalan Kebun Limau pada pukul 6.30 petang.

“Suspek ada memberi amaran supaya mangsa tidak melarikan diri namun selepas beberapa minit lelaki itu beredar, mangsa keluar dari rumah dan meminta pertolongan orang ramai. Mangsa dihantar ke rumah majikannya di Taman Melor sebelum dibawa membuat laporan polis,” katanya.

Yahya memberitahu, suspek yang tinggal di Kampung Bahagia, Teluk Intan itu telah ditangkap semalam dan direman enam hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan rogol.

Tambahnya, siasatan mendapati lelaki itu mempunyai 11 rekod kesalahan lampau bersabit Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serta penyalahgunaan dadah.

“Mangsa dirawat di Hospital Teluk Intan kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan telah dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini