WASHINGTON 6 Mac – Korea Utara didakwa membangunkan semula tapak peluru berpandu yang ditutupnya tahun lalu.
Reuters melaporkan, penutupan tapak tersebut dibuat selepas rejim itu berjanji berbuat demikian ketika sidang kemuncak bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada tahun lalu.
Tindakan Korea Utara membuka semula tapak itu dilaporkan agensi berita Yonhap dan dua organisasi penyelidikan AS.
Yonhap yang memetik kenyataan Perkhidmatan Perisikan Antarabangsa Korea (NIS) mendakwa, kerja-kerja pembinaan semula sedang giat dilakukan di tapak Tongchang-ri, termasuk menggantikan atap dan pintu pada bangunan yang dibina di kawasan tersebut.
Penganalisis Pusat kajian Stimson, Jenny Town memberitahu, imej satelit yang dirakam Projek Korea Utara berpangkalan di Washington, 38 North menunjukkan struktur tapak pelancaran peluru berpandu telah dibina semula sekitar 16 Februari dan 2 Mac lalu.
Laporan Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) juga ada memaparkan imej satelit yang menunjukkan kerja-kerja pembinaan giat dijalankan Korea Utara di kawasan tersebut.
“Aktiviti dikesan di bahagian ujian enjin dan rel perpindahan dilihat aktif digunakan. Jelas dilihat, penutup pada menara dibuka untuk memperlihatkan tapak pelancaran senjata peluru berpandu,” lapor CSIS.
Berita tersebut tersebar beberapa hari selepas sidang kemuncak hapus nuklear (denuclearization) kali ke-2 antara Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un diadakan.
Jong-un dilaporkan pernah berjanji kepada Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in untuk menutup tapak ujian peluru berpandu Sohae dan membenarkan pakar antarabangsa memantau proses-proses penutupan tapak berkenaan.
Korea Utara pada awalnya memperlihatkan komitmen terhadap janji yang disuarakan kepada Trump setelah kerja-kerja penutupan bangunan dan pusat ujian roket di tapak tersebut mula digerakkan sekitar Julai.











