PULAU PINANG 6 Mac – Seramai lapan pegawai penjara direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima wang suapan dianggarkan bernilai lebih RM120,000 dari- pada seorang warga asing.
Selain itu, turut direman bagi membantu siasatan kes ialah seorang wanita warga Indonesia berusia 45 tahun kerana didakwa bertindak menjadi orang tengah dalam kes terbabit. Wanita berkenaan disyaki waris kepada banduan yang sedang ditahan di penjara.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Pegawai Pendaftar Mahkamah Rendah (Jenayah), Muna Maria Azmi di Mahkamah Majistret Georgetown di sini.
Semalam, lapan pegawai penjara itu yang berusia antara 25 tahun dan 44 tahun ditahan di sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Pahang di antara pukul 9.45 pagi hingga 10.30 pagi.
Mereka yang ditahan terdiri daripada enam pegawai dari Penjara Pokok Sena, Kedah manakala seorang dari Penjara Bentong, Pahang dan seorang lagi dari Penjara Seberang Perai, Pulau Pinang.
Siasatan awal mendapati kesemua pegawai penjara tersebut telah menerima wang suapan yang dianggarkan bernilai lebih RM120,000 daripada wanita berkenaan sebagai ‘upah’ membawa barangan larangan seperti rokok, tembakau, makanan dan bahan dipercayai dadah kepada banduan di antara 2017 dan 2018.
Nilai wang suapan yang diterima oleh mereka yang disyaki terlibat adalah berbeza iaitu antara RM6,000 hingga RM52,000. Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.











