KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah diberikan penarafan lima bintang sebagai badan sukan kebangsaan 2018 oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PSM).
Keputusan tersebut dilakukan selepas PSM selesai menjalankan sesi penilaian Penarafan Bintang (Star Rating) terhadap badan sukan kebangsaan yang dijalankan pada Disember lalu.
PSM, Datuk Zaiton Othman memasang harapan agar FAM dapat mengekalkan prestasi berkenaan menjelang tahun berikutnya demi pembangunan bola sepak negara.
“Berdasarkan penilaian yang telah dijalankan sebelum ini, FAM telah mendapat lima bintang dan PSM berharap badan induk bola sepak negara itu dapat terus mengekalkan prestasi tersebut menjelang tahun berikutnya.
“Kami juga mengucapkan tahniah atas pencapaian tersebut dan terima kasih kepada FAM dengan kerjasama yang diberikan sepanjang proses Program Penilaian Penarafan Bintang,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan PSM. – K! ONLINE











