LANGKAWI – Penghuni kuarters kakitangan Hospital Langkawi (HL) di Bukit Tekuh, Jalan Padang Matsirat di sini memberitahu dia sering mendengar tangisan kanak-kanak dari kediaman pasangan suami isteri yang ditahan kerana disyaki membunuh Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, pada pertengahan bulan lalu.
Jiran suspek, Mohd. Faizal Zakaria, 49, berkata, tangisan itu didengari dalam tempoh sekitar pukul 12 tengah malam hingga 1 pagi selama tiga hari sebelum kanak-kanak itu meninggal dunia.
“Saya selalu balik lewat malam kerana berbasikal di kawasan sekitar dan terdengar bunyi tangisan budak kecil yang agak lama dari tingkat atas bangunan kuarters ini,” katanya ketika ditemui di kuarters HL di sini hari ini.
Kata beliau, rumahnya berada di tingkat dua manakala rumah suspek di tingkat tiga bangunan yang sama.
“Saya ada rasa nak naik untuk periksa tetapi takut tangisan itu bukan dari rumah suspek memandangkan kuarters ini ramai bayi dan budak kecil,” ujarnya.
Selain itu, menurut Mohd. Faizal, dia juga tidak pernah nampak kanak-kanak itu di kawasan kuarters sebelum ini.
“Malah saya juga tidak tahu menahu bahawa mangsa dan ibu kandungnya yang juga warga Indonesia ada tinggal bersama suami isteri terbabit,” katanya.
Ujarnya, dia ada bersama dengan polis ketika melakukan pemeriksaan ke atas rumah kedua-dua suspek baru-baru ini.
“Saya lihat keadaan rumah itu berselerak seperti keluarga tersebut berpindah keluar secara tergesa-gesa,” katanya. – K! ONLINE











