JOHOR BAHRU – Empat kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun antara 10 individu ditahan bersama pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM11,208 di sebuah rumah di Taman Pelangi di sini, awal pagi ini.
Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarudin Md. Din berkata, dalam dua serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor kira-kira pukul 1 pagi itu turut menemui sepucuk pistol jenis Browning bersama 60 butir peluru hidup.
Katanya, enam suspek termasuk tiga wanita semuanya warga tempatan berusia 19 hingga 34 tahun ditahan dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak setahun lalu.
“Rampasan melibatkan dadah jenis ganja seberat 504 gram (g); serbuk putih disyaki dadah 345g; heroin, 84g; syabu, 10g dan 48 pil ekstasi.
“Dalam serbuan terbabit juga, lapan buah kenderaan jenis Toyota Velfire, Mitsubishi ASX, Triton, Honfa Accord, Toyota Vios, Proton Saga dan wang tunai campur-campur bernilai RM50,000 turut dirampas.
“Kita anggarkan kesemua nilai rampasan bernilai RM625,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.
Kamarudin berkata, polis masih menyiasat penglibatan kanak-kanak dalam sindiket pengedaran dadah terbabit.
“Salah seorang kanak-kanak terbabit merupakan anak kepada pasangan lelaki dan wanita suspek yang ditahan. Kita masih belum mengenal pasti penglibatan mereka (kanak-kanak) dalam sindiket pengedaran terbabit,” katanya.
Kesemua suspek direman selama enam hari bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 39B Kanun Keseksaan Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat 1971 dan Sekyen 8(a) Akta Senjata Api 1960. – K! ONLINE











