GENEVA 6 Mac – Selepas pelbagai usaha ke arah keseimbangan jantina dilakukan, hampir suku daripada keseluruhan ahli parlimen yang berkhidmat dalam dewan parlimen nasional seluruh dunia merupakan kaum wanita.
Perkara itu disahkan Kesatuan Parlimen Antarabangsa (IPU), menerusi laporan terbaru mereka.
Berdasarkan laporan IPU, Pada 1995, jumlah penglibatan wanita dalam parlimen di seluruh dunia adalah sekitar 11.3 peratus. Angka tersebut meningkat kepada 18.3 peratus pada 2008 dan seterusnya 24.3 peratus pada tahun lalu.
Laporan tersebut adalah berdasarkan data-data yang dikumpul dari negara-negara yang melaksanakan pilihan raya pada tahun lalu.
IPU yang ditubuhkan pada 1889 merupakan organisasi antarabangsa tertua yang berperanan mengumpul dan mengemaskini jumlah wanita yang dipilih berkhidmat untuk badan perundangan negara.-AGENSI











