DUNGUN – Hasrat seorang pemuda yang mahu melarikan diri daripada perintah buang daerah tidak kesampaian apabila dia berjaya diberkas semula polis dalam tempoh tiga hari di Kampung Kubang Miang di sini semalam.
Lelaki berusia 20 tahun yang melarikan diri daripada pengawasan polis di Balai Polis Batu Melintang, Jeli, Kelantan pada Ahad lalu itu berjaya ditahan pada pukul 6.15 petang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Mohamad Zohan Seman berkata, sebelum kejadian, suspek yang dikenali sebagai ‘Fahmi Absober’ telah dijatuhi hukuman buang daerah ke Jeli, Kelantan selama dua tahun setelah disabitkan atas kesalahan mencuri motosikal oleh Mahkamah Majistret Dungun pada Ahad lalu.
“Dia kemudiannya bertindak melarikan diri sewaktu proses dokumentasi dan penghantarannya ke kawasan buang daerah sedang dilakukan di Balai Polis Batu Melintang, Jeli pada pukul 7 malam, Ahad lalu.
“Siasatan awal mendapati suspek kemudiannya telah mencuri motosikal jenis SYM salah seorang jemaah yang sedang menunaikan solat Maghrib berjemaah di masjid berdekatan untuk melarikan diri pulang ke daerah ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Mohamad Zohan berkata, pemuda itu yang tiba di daerah ini pada awal pagi Isnin lalu tidak pulang terus ke rumahnya sebaliknya dipercayai menyembunyikan diri di kawasan semak di Kampung Kubang Miang di sini bagi mengelakkan diri daripada mudah dikesan polis. – K! ONLINE











