JEMPOL 6 Mac – Seorang pengedar dadah berusia 46 tahun ditahan polis di tepi jalan dari arah Jelai ke Batu 10 dekat sini kira-kira pukul 1.12 pagi semalam.
Ketua Polis daerah, Superintenden Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, polis merampas dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM1,204 daripada lelaki itu.
“Anggota polis yang melakukan pemantauan di kawasan itu terlihat suspek sedang duduk di atas sebuah motosikal jenis Honda EX5 dalam keadaan mencurigakan.
“Subjek terperanjat selepas menyedari kehadiran anggota polis dan cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Muhd. Nur Hishamuddin berkata, pemeriksaan ke atas lelaki itu menemukan satu beg berwarna hitam di dalam simpanannya.
Kata beliau, terdapat alat penimbang digital, 27 paket plastik dipercayai berisi heroin seberat 30.1 gram dan lapan paket plastik kecil dipercayai berisi syabu seberat 6.2 gram.
Tambah beliau, siasatan mendapati suspek yang beralamat di Felda Bukit Rokan Utara, Gemencheh memiliki lapan rekod berkaitan dadah dan dua kes jenayah.
“Ujian air kencing mendapati dia positif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN ONLINE











