SEREMBAN 5 MAC – LEBIH 100 kakitangan Pusat Perubatan Mawar (MMC) di sini buntu memikirkan nasib mereka ekoran tidak menerima gaji selepas pusat itu diarah tutup oleh Kementerian Kesihatan bulan lalu.
Kakitangan dari pelbagai unit di pusat perubatan itu mendakwa pihak pengurusan masih membisu berhubung masa depan mereka.
Seorang jururawat, Shuhada Saad, 29, berkata, selepas MMC diserbu dan diarah tutup pada 14 Februari lalu, kakitangan terbabit tidak mengetahui status mereka dan nasib hospital berkenaan.
‘‘Kami hanya diminta tunggu tapi sehingga kini tak tahu sama ada masih kakitangan atau bagaimana. Tidak ada hitam putih manakala Pengerusi MMC (Datin Chua Lay Ping) masih belum berjumpa dengan kakitangan.
‘‘Gaji Februari belum dibayar dan lewat lapan hari dari tarikh sepatutnya. Sebelum ini ada laporan akhbar mengatakan kami tak akan dapat gaji pada Februari. Kami tak dimaklumkan, hanya tahu melalui laporan media,’’ katanya selepas membuat aduan bersama kakitangan lain di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di Wisma Persekutuan di sini hari ini.
Kementerian Kesihatan baru-baru ini membatalkan lesen MMC dan mengarahkannya menghentikan operasi selepas didapati melanggar ketetapan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
Seorang atendan di unit dialisis, Rosli Ismail, 59, berkata, situasi dialami mereka umpama ‘anak ayam kehilangan ibu’ kerana belum ada maklumat diberikan oleh pihak pengurusan.
‘‘Saya telah berkhidmat selama 18 tahun dan kecewa dengan cara kami dilayan. Mereka biarkan kami tanpa arah. Ramai kakitangan masih muda, ada yang baru kahwin dan dapat cahaya mata. Mereka hendak beli susu anak pun tak ada duit,’’ katanya.
Bagi pasangan, D. Selva Kumar, 38 dan S. Adhilakshmy, 32, mereka berharap pihak pengurusan memberi kata putus tentang nasib kakitangan.
Dalam pada itu, Lay Ping berkata, pihak pengurusan MMC sedang berusaha mengatasi masalah gaji kakitangannya dan berharap mereka dapat bersabar.
‘‘Kita telah menyelesaikan bayaran untuk kakitangan di semua cawangan dan sedang berusaha melunaskan gaji kakitangan di ibu pejabat selepas ini,’’ katanya.











