Pergiat promosi buku pemenang HSKU 2019 - Utusan Malaysia

Pergiat promosi buku pemenang HSKU 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
HADIAH
Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) berlangsung dengan gilang-gemilang pada 27 Februari lalu, namun bahangnya masih terasa sehingga sekarang. Nama para pemenangnya masih disebut-sebut dan menjadi bualan, malah karya-karya mereka terus mendapat sambutan, dicari dan dibeli.

Memuatkan artikel berkaitan…

Rasanya hanya Utusan Malaysia yang mengangkat kesusasteraan dan sasterawan semegah itu, sesuai dengan sejarah akhbar itu sendiri yang diwujudkan oleh golongan sasterawan dan penulis, maka sambutan besar-besaran sebegitu amatlah wajar. Kehadiran tokoh politik, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cenderung kepada sastera selain Sasterawan Negara, penulis, pelukis dan selebriti sememangnya menambah prestij selain memberi kesedaran kepada masyarakat tentang HSKU.

HSKU ke-33 bukan sahaja menampilkan pemenang dari penulis mapan seperti Sri Rahayu Yusof, Zainal Rashid Ahmad dan Husna Nazeri malah telah menaikkan nama-nama baharu dan penulis muda seperti MK Riza dan Saza S, Wardah Puteh dan Abdullah Hussaini serta Clayton Robert dan Soraya Salim.

Sekalung tahniah diucapkan kepada barisan pemenang dan Kumpulan Utusan selaku penganjur. Diharapkan selepas ini buku-buku karya pemenang berada di toko-toko buku, perpustakaan dan sekolah. Promosi harus digiatkan baik secara fizikal mahupun maya.

Diharapkan juga dijual di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tidak lama lagi, malah promosi gencar di laman web dan media sosial. Petikan-petikan menarik dalam cerpen pemenang atau cuplikan sajak juga boleh dihias dalam bentuk gambar dan dimuat naik dalam laman sosial.

Begitu juga ulasan pembaca, molek kiranya dikongsi untuk tatapan bersama di laman sosial. Semoga dengan giatnya promosi ini akan menambahkan golongan pembaca dan peminat kesusasteraan tanah air.

RIKISMA FAZLOER

Alor Setar, Kedah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini