Polis Kuala Lumpur berjaya turunkan indeks jenayah di sekitar Taman Midah - Utusan Malaysia

Polis Kuala Lumpur berjaya turunkan indeks jenayah di sekitar Taman Midah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur berjaya menurunkan indeks kadar jenayah sebanyak 17 kes bersamaan dengan 68 peratus pada tahun lepas di sekitar kawasan Tesco Extra, Taman Midah dekat sini.

Ia secara tidak langsung menunjukkan keberkesanan serta komitmen pihak berkuasa dalam menjalankan tugas demi keselamatan warga kota.

Lebih membanggakan, pasukan itu juga berjaya mengurangkan lebih separuh kadar jenayah curi dalam bangunan iaitu sebanyak lapan kes sahaja pada tahun lalu berbanding 25 kes pada tahun 2017.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya memandang serius terhadap keselamatan dan ketenteraman awam khususnya di ibu negara.

“Sepanjang tahun ini sahaja, sebanyak empat program High Profile Policing yang dianjurkan polis Kuala Lumpur telah diadakan di sekitar ibu negara.

“Program ini bertujuan mendidik komuniti supaya memainkan peranan dalam membanteras jenayah selain menjadi mata dan telinga kepada pihak polis,” katanya ketika sidang akhbar selepas mengadakan lawatan di Tesco Extra Taman Midah di sini hari ini.

Tambahnya, program tersebut juga memberi kesedaran kepada orang ramai terhadap trend jenayah terkini dengan mengedarkan risalah pencegahan jenayah, Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dan sistem semakan online.

“Polis juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain bagi mengadakan operasi bersepadu untuk membanteras aktiviti jenayah.

“Tindakan yang diambil bukan sahaja untuk menurunkan kadar jenayah tetapi juga mengurangkan kegusaran dan kebimbangan masyarakat terhadap kegiatan jenayah,” katanya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN