Cake gesa pantau produk makanan kering - Utusan Malaysia

Cake gesa pantau produk makanan kering

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 5 Mac – Persatuan Pengguna Kedah (Cake) menggesa pihak berkuasa termasuk Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha yang mengeluarkan bahan makanan secara tidak bersih.

Setiausaha Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, produk seperti ikan kering yang tidak berlabel dan dijual di pasar-pasar basah, pasar tani dan pasar malam kebiasaannya tidak dipantau tahap kebersihannya oleh mana-mana pihak.

Menurutnya, Cake sering menerima laporan daripada pengguna mengenai pemprosesan makanan tidak bersih dan isu di Langkawi, semalam bukan kali pertama kerana ia sering berlaku terutamanya membabitkan produk makanan kampung seperti ikan kering.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Produk ikan kering ini banyak diusahakan oleh para nelayan yang menjadi pendapatan tambahan selain daripada mendapatkan sumber laut dan ada juga yang mengusahakannya secara komersial.

”Namun, melalui pemerhatian kami, tidak semua produk makanan ini tercemar dengan kejadian seperti ini. Malangnya, insiden ini telah mengakibatkan para pengusaha ikan kering yang lain turut terjejas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar mengenai tahap kebersihan kawasan pemprosesan ikan dan udang kering di Langkawi yang mendapat banyak aduan termasuk kes makanan tersebut dipijak oleh sekumpulan anjing.

Jelas Mohamad Yusrizal, terdapat juga produk ikan kering yang dilabelkan dengan baik berserta sukatan dan mempunyai logo halal pada setiap bungkusan.

“Pengguna harus bijak dalam membuat pilihan bagi memastikan mereka mendapat makanan yang sihat dan selamat.

“Pihak kami juga berharap supaya pengguna yang menyedari perkara ini melaporkan kepada pihak berkuasa agar tindakan sewajarnya dapat diambil selain tidak menjejaskan pengusaha-pengusaha yang lain,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini