SHAH ALAM – Nasib malang seorang banduan lelaki warga emas berterusan apabila bakal meringkuk lebih lama di penjara selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan baharu dalam penggubahan wang haram berjumlah RM285,000, empat tahun lalu.
Bagaimanapun, hukuman terhadap tertuduh, Shee Fook, 71, yang membuat pengakuan bersalah itu di hadapan Hakim Yang Zaimey Yang Ghazali hanya akan ditentukan 14 Mac depan.
Ini berikutan Yang Zaimey membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk diberi ruang menyediakan fakta kes dan dokumen berkaitan.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Fook didakwa menggunakan wang berjumlah RM35,000 dan RM250,000 iaitu hasil aktiviti penggubahan wang haram dari akaun simpanan miliknya.
Perbuatan itu dilakukan di dua bank masing-masing di Seri Kembangan dan Bandar Baru Seri Petaling pada 13 hingga 17 Februari 2015.
Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana-mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Liyana Shahrir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam prosiding itu, Atiqah memohon mahkamah memberikan tempoh singkat bagi menyediakan fakta kes.
Difahamkan, Fook kini sedang menjalani hukuman penjara selama lima tahun di Penjara Kajang atas kesalahan menipu antaranya membabitkan kes di Negeri Sembilan dan Melaka. – K! ONLINE











