KUALA LUMPUR 5 Mac – Nilai portfolio Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) yang diukur menerusi Nilai Bersih Dilaraskan (NWA) merosot kepada RM91 bilion pada 31 Disember 2018, penurunan 21.6 peratus daripada RM116 bilion dicatatkan pada 31 Disember 2017.
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, Nilai Aset Boleh Tunai (RAV) juga menurun kepada RM136 bilion daripada RM157 bilion dalam tempoh sama.
Katanya, portfolio Khazanah terjejas berikutan ketidaktentuan ekonomi global pada 2018, menyaksikan pasaran yang lembap disebabkan ketegangan geopolitik dan prospek pertumbuhan kurang memberangsangkan untuk pasaran baharu muncul.
“Di samping itu, portfolio Khazanah juga dipengaruhi oleh perkembangan domestik, termasuk tinjauan pendapatan yang suram, ketidaktentuan pasaran dan beberapa perubahan dalam pengawalseliaan dalam tempoh yang dikaji.
“Khazanah mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM6.271 bilion pada 2018, berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM2.896 bilion pada tahun sebelumnya,” katanya ketika membentangkan Ulasan Tahunan Khazanah 2019 (KAR 2019) di sini hari ini.
Prestasi portfolio jangka panjang Khazanah kekal pada trajektori menaik dengan NWA mencapai pulangan 11 peratus setiap tahun sepanjang 10 tahun yang lalu. – UTUSAN ONLINE











