KEKALAHAN seawal pusingan pertama pada kejohanan badminton Terbuka Jerman minggu lalu nyata membakar semangat pemain beregu campuran profesional negara, Goh Liu Ying menjelang kejohanan All England yang bermula esok.
Liu Ying yang bergandingan dengan Chan Peng Soon gagal melepasi pusingan pertama Terbuka Jerman selepas dikejutkan dengan kekalahan 21-18, 17-21, 15-21 kepada beregu tidak ternama dari Rusia, Evgenij Dremin-Evgenia Dimova.
Justeru, Liu Ying berharap mereka mampu bangkit daripada kekecewaan selain menegaskan, kekalahan pada Terbuka Jerman adalah disebabkan mereka tidak sempat menyesuaikan diri dengan keadaan di sana.
“Sebenarnya, kalah atau menang itu adalah perkara biasa dan adat dalam pertandingan. Kami juga belum dapat menyesuaikan diri pada kejohanan tersebut kerana masih berada dalam keadaan lesu selepas mengharungi penerbangan yang jauh.
“Sekarang pun kami masih rasa penat dan tidak berada dalam keadaan terbaik. Bagaimanapun, masih ada masa untuk lakukan persiapan sebelum kejohanan bermula, saya harap kami sempat cergas sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Meskipun bakal berdepan beregu terbaik dunia pada kejohanan badminton tertua di dunia itu, namun pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 berkenaan tetap meletakkan sasaran untuk melangkah ke pentas separuh akhir.
“Semua orang tahu saingan All England bukan mudah kerana disertai beregu-beregu ternama, namun itu bukan alasan untuk kami mengaku kalah lebih awal. Kami sedia untuk berikan segala-galanya pada setiap perlawanan.
“Agak sukar untuk letak sasaran spesifik tetapi kami akan cuba untuk sekurang-kurangnya melangkah ke peringkat separuh akhir kerana ia mampu membantu memperbaiki ranking ketika ini,” tambahnya.
Peng Soon-Liu Ying yang diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan dijangka tidak berdepan masalah meneruskan kemaraan ke pusingan kedua apabila dijadualkan bertemu gandingan No. 48 dari Jepun, Takuro Hoki-Wakana Nagahara pada pusingan pertama.











