NAPOLI – Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri mempertahankan beberapa keputusan kontroversi yang dibuat pengadil perlawanan, Gianluca Rocchi ketika pasukannya menang 2-1 ke atas Napoli pada aksi Serie A di Stadium San Paolo awal pagi semalam.
Pertemuan dua pencabar utama itu berlangsung dalam keadaan panas apabila pemain Napoli, Alex Meret serta pemain tengah Juventus, Miralem Pjanic masing-masing dilayangkan kad merah.
Kemenangan itu juga menyaksikan kedudukan Juventus sebagai peneraju liga semakin sukar dicabar apabila mendahului saingan dengan perbezaan 16 mata, sekali gus semakin hampir untuk mengesahkan gelaran Serie A buat kali kelapan berturut-turut pada musim ini.
“Saya sedikit terleka pada perlawanan itu, sepatutnya saya perlu mengeluarkan Pjanic kerana dia sudah memiliki satu kad kuning dan berisiko dilayangkan kad merah.
“Posisi pemain pula agak kucar-kacir pada perlawanan itu dan ia nyata memberi kelebihan kepada Napoli untuk melakukan asakan. Mungkin beberapa keputusan pengadil boleh dipertikai tetapi dia sudah menjalankan tugas dengan baik,” kata Allegri.
Dalam pada itu, Allegri juga mengakui masa depannya bersama The Old Lady akan dibincangkan sebaik saingan musim ini berakhir memandangkan ada khabar angin yang mendakwa dia bakal meninggalkan pasukan berkenaan.
“Saya akui perbezaan 16 mata sangat besar jurangnya dan saya gembira dengan situasi sekarang, namun kami tidak mahu rasa terlalu selesa. Berhubung masa depan saya, kami akan mengadakan perbincangan sebaik tamat saingan musim ini dan saya sedia untuk terus kekal bersama Juventus,” ujarnya. – Agensi











