JAKARTA 4 Mac – Calon Naib Presiden nombor satu, Ma’ruf Amin mengajak semua pihak untuk menyambut dan menikmati perjalanan pilihan raya Presiden (Pilpres) 2019 dengan gembira tanpa diselubungi kebimbangan.
Menurut Ma’ruf, Pilpres adalah soal untuk memilih pemimpin dan bukannya musuh.
“Sehubungan itu, tidak perlu ada ketegangan, jalaninya tanpa harus mengerutkan dahi,” katanya, semalam,
Lapor Tribun News, Ma’ruf menjelaskan, Pilpres juga bukannya peperangan dan orang ramai tidak perlu bersikap seperti sedang berperang.
“Tidak perlu kita meniru gaya seperti orang berperang. Kita santai sahaja, masing-masing berjuang dengan senyum sehingga tidak timbul kesan permusuhan itu,” katanya.
Ma’ruf pada masa sama mengajak semua ahli dari semua parti politik supaya membina negara dengan jujur tanpa fitnah dan penipuan.
“Kita bina negara ini secara jujur, jangan menabur fitnah dan menuduh sesama sendiri,” katanya.
Ma’ruf juga mengingatkan orang ramai supaya tidak percaya atau menerima bulat-bulat sebarang maklumat tanpa usul periksa.
“Kita jangan percaya penipuan, setiap berita yang kita terima perlu diperiksa terlebih dahulu,” katanya. – AGENSI











