Hadapi masalah jerebu teruk jika berlaku pembakaran terbuka - Utusan Malaysia

Hadapi masalah jerebu teruk jika berlaku pembakaran terbuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU KAWAN 4 Mac – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) tidak menolak kemungkinan negara bakal berdepan situasi jerebu teruk seperti tahun 1997 dan 2015 jika orang ramai terus melakukan pembakaran secara terbuka.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, dalam keadaan cuaca panas melampau yang dialami kawasan Semenanjung pada masa ini aktiviti pembakaran secara terbuka perlu dielakkan.

MOHAMMAD HAMDAN WAHID
MOHAMMAD HAMDAN WAHID 

“Sekarang ini ada titik panas dikesan di kawasan Riau dan Jambi di Indonesia, jika angin bertiup ke arah kita (Malaysia), kita yang akan import asapnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika pembakaran terbuka berlaku secara tidak terkawal, titik panas di dalam negara banyak bercampur pula dengan titik panas di Sumatera keadaan jerebu teruk seperti yang terjadi pada 1997 dan 2015 boleh berlaku kembali,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis pe­nganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 di sini hari ini.

Hadir sama, Penga­rah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Saadon Moktar.

Menurut Mohammad Hamdan, pada Februari tahun ini, pihak bomba merekodkan sebanyak 3,054 kes kebakaran terbuka dan jumlah tersebut meningkat hampir sekali ganda berbanding bulan Januari iaitu 1,936.

“Kita terima banyak panggilan kecemasan melibatkan kebakaran hutan dan berlaku pe­ningkatan mendadak dalam kes kebakaran terbuka pada Februari tahun ini.

“Situasi ini dijangka berte­rusan sehingga April tahun ini dan anggota JBPM telah diarahkan untuk bersiap sedia dengan semua pusat operasi digerakkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan pembakaran jerami padi khususnya di Kedah dan Perlis dihentikan pada musim panas ini.

“Kita sarankan agar petani menghentikan pembakaran jerami pada masa ini, musim panas kali ini berbeza pada tahun sebelumnya kerana suhu panas yang dialami agak tinggi.

“Pembakaran jerami hanya boleh dilakukan jika dibenarkan oleh Jabatan Alam Sekitar dan dilakukan bawah pemantauan,” katanya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini