LONDON 4 Mac– Seorang kanak-kanak mencetuskan situasi cemas apabila dirakam cuba melakukan aksi lagak ngeri dengan berpaut pada sebuah tram yang sedang bergerak di Manchester, kelmarin.
Lapor Metro.co.uk, aksi berbahaya berkenaan dirakam oleh penumpang di stesen Barlow Moor Rood di Chorlton, kelmarin.
Kanak-kanak tersebut yang dikatakan berusia 11 tahun, kemudiannya dilihat melompat turun ke atas landasan tram.
Seorang penumpang, Clare McGuire dari Stretford berkata, dia amat terkejut melihat apa yang berlaku.
Menurut McGuire, kanak-kanak tersebut bersama dua orang rakannya kemudiannya diarahkan turun dari tram berkenaan oleh seorang warga emas.
“Kesemua budak itu berada dalam tram berkenaan sebelum mereka keluar di sebuah stesen. Salah seorang daripada mereka memanjat bahagian belakang tram.
“Bayangkan sekiranya tram itu membrek, ia sangat berbahaya. Sekiranya sesuatu berlaku, ia akan memberi kesan kepada pemandu dan keluarga mereka,” kata McGuire.
Ketua Metrolink Pengangkutan untuk Greater Manchester (TfGM), Danny Vaughan menggesa orang ramai agar berhati-hati dan tidak melakukan perkara yang membahayakan nyawa sendiri. – AGENSI











