SEJAK kebelakangan ini, selebriti tempatan sering dikaitkan dengan isu penggunaan ilmu hitam.
Jika Misha Omar dituduh oleh netizen menggunakan cara kotor untuk memenangi tempat ketiga dan vokal terbaik pada Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL33), lain pula kisahnya dengan bekas peserta Gegar Vaganza 3, Zur Eda.
Menerusi ruangan pojok sebuah akhbar mingguan, penyanyi yang popular dengan lagu Pelitaku itu dikatakan sedang sakit akibat terkena ilmu hitam yang dihantar oleh rakannya sendiri.
Zur Eda atau nama sebenarnya, Zuraidah Mokhtar juga dikatakan sudah lama menyepi dan tidak menerima undangan nyanyian disebabkan oleh masalah kesihatannya yang tidak menentu.
Bagaimanapun, ketika dihubungi Kosmo!, penyanyi berusia 54 tahun itu menafikan dirinya sedang sakit, apatah lagi terkena ilmu hitam.
Menurut Zur Eda, dia berada dalam keadaan sihat walafiat dan kini sibuk menguruskan perniagaan makanan ringannya, Kerepek 5 Stars.
KOSMO!: Apa khabar Zur Eda? Benarkah dakwaan sebuah ruangan pojok yang mendakwa anda tidak sihat kerana terkena ilmu hitam?
ZUR EDA: Khabar baik. Apa yang boleh saya katakan, dakwaan tersebut tidak benar sama sekali. Saya berada dalam keadaan sihat dan masih aktif menguruskan perniagaan.
Jadi, mengapakah anda sudah lama tidak muncul dalam mana-mana acara hiburan?
Benar, saya akui sudah lama tidak menyanyi. Bagaimanapun, itu tidak bermakna saya sakit atau sudah tidak mahu menyanyi lagi. Hal ini kerana, saya terlalu sibuk menguruskan perniagaan makanan ringan Kerepek 5 Stars. Disebabkan jenama kerepek ini telah dijual di semua Kedai Mesra di stesen minyak Petronas seluruh Malaysia, saya agak sibuk dan jarang memenuhi undangan nyanyian seperti dulu.
Bagaimanakah gosip mengatakan anda sakit akibat terkena ilmu hitam boleh timbul?
Saya sendiri tidak tahu bagaimanakah isu ini boleh menjadi bualan orang. Selain disifatkan sebagai fitnah, gosip ini juga boleh menutup periuk nasi saya dalam bidang seni. Cuba bayangkan jika pihak penganjur yang mahu memanggil saya menyanyi pada acaranya membaca gosip ini? Sudah tentu mereka akan percaya dan memanggil penyanyi lain. Secara tidak langsung, karier nyanyian saya akan terjejas.
Jadi, anda menyangkal sama sekali bahawa anda sedang sakit?
Ya, saya menafikan dakwaan berkenaan sekeras-kerasnya. Jika mengikuti saya dalam laman Instagram, pasti anda mengetahui rutin harian saya dan sekali gus membuktikan bahawa saya sihat.
Adakah anda akan mengambil sebarang tindakan terhadap perkara ini?
Jika saya masih muda, mungkin saya akan membuat kenyataan balas. Namun, saya hormati pihak yang mengeluarkan gosip tersebut dan berharap mereka dapat menghubungi saya sebelum menerbitkan sebarang cerita. Kepada sumber yang mengatakan kononnya saya terkena ilmu hitam buatan orang, saya maafkan dia.











