LONDON 3 Mac – Chelsea mengetepikan tekanan hebat Fulham sebelum mengetepikan pasukan jiran mereka 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Craven Cottage, sebentar tadi.
Kemenangan itu memastikan Blues meningkatkan tekanan kepada Manchester United dan Arsenal untuk mengejar kelompok empat terbaik liga selepas kekal di tangga keenam dengan 56 mata.
Blues kini hanya dipisahkan satu mata di belakang pasukan tangga kelima, Arsenal tetapi memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan manakala United di tempat keempat dengan 58 mata.
Penyerang Argentina, Gonzalo Higuain membolehkan Chelsea bermula langkah kanan selepas membuka jaringan pasukan pelawat pada minit ke-20, namun tuan rumah tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan menerusi Calum Chambers, tujuh minit kemudian.
Jorginho memastikan tiga mata berharga diraih anak-anak buah Maurizio Sarri selepas meledak gol kemenangan pada minit ke-31. – AGENSI











