SINGAPURA 3 Mac – Pemain golf No. 2 dunia, Park Sung hyun dari Korea Selatan bangkit daripada ketinggalan empat pukulan untuk merangkul kejuaraan Wanita Dunia di Lapangan Golf Sentosa, di sini hari ini.
Sung hyun, 25, yang memulakan pusingan akhir dengan ketinggalan empat pukulan di belakang pemain No. 1 dunia, Ariya Jutanugarn dari Thailand bagaimanapun cemerlang melakukan sembilan birdie pada hari terakhir untuk membolehkannya muncul juara dengan kelebihan dua pukulan.
Dia menutup saingan dengan lapan bawah par 64, sekali gus mengetepikan Minjee Lee dari Australia selepas mengumpul 15 bawah par 273 keseluruhan.
Minjee mengekori di tangga kedua menerusi 13 bawah par 275 selepas menamatkan pusingan akhir dengan tiga bawah par 69.
“Saya amat berpuas hati dan gembira dengan permainan hari ini. Ia mungkin antara hari terbaik sepanjang karier saya dalam LPGA (Persatuan Pemain Golf Profesional Wanita),” kata Sung hyun.
Kemenangan Sung hyun dalam kejohanan bernilai AS$1.5 juta (RM6.11 juta) itu membolehkannya mengumpul enam gelaran keseluruhan dalam Jelajah LPGA.
Berkongsi kedudukan ketiga dengan 11 bawah par ialah seorang lagi pemain Korea Selatan, Ko Jin-young dan pemain Sepanyol Zahara Munoz manakala Jutanugarn berkongsi tangga keenam selepas melakukan lapan bawah par 280 keseluruhan. – AGENSI











