LONDON 3 Mac – Kepulangan semula Brendan Rodgers dalam Liga Perdana Inggeris bermula dengan langkah kiri selepas Leicester City tumpas 1-2 kepada Watford di Vicarage Road, sebentar tadi.
Jaringan Andre Gray, dua minit memasuki waktu kecederaan memusnahkan hajat Rodgers untuk membuat penampilan sempurna bersama pasukan baharunya.
Rodgers yang mengambil alih The Foxes, Isnin lalu pada awalnya kelihatan seperti akan pulang bersama satu mata apabila Jamie Vardy meledak gol penyamaan minit ke-75 selepas Troy Deeney terdahulu meletakkan tuan rumah di depan seawal minit kelima.
Begitupun, ketika wisel penamat hanya menunggu masa untuk ditiupkan, Gray menceriakan penyokong tuan rumah dengan meledak gol kemenangan, sekali gus membolehkan The Hornets berkongsi 43 mata bersama pasukan tangga ketujuh, Wolverhampton.
Leicester yang mengalami kekalahan ke-14 musim ini menghuni tangga ke-11 dengan 35 mata. – AGENSI










