KUBANG PASU 3 Mac – Seorang pemuda maut dipercayai terkena bilah pemotong jerami padi sebuah traktor ketika sedang membersihkan kawasan sawah di Kampung Sinaran Jaya, Kodiang, di sini hari ini.
Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, mangsa, Alif Riezman Azhar, 21, dikatakan sedang mengendalikan traktor tersebut sebelum terjatuh dipercayai akibat diserang sawan.
Difahamkan, mangsa yang terjatuh kemudian digilis traktor dan terkena bilah pemotong sehingga menyebabkan kecederaan parah pada bahagian kepala, perut, tangan dan kaki.
Pemilik traktor, Azli Ahmad, 40, berkata, dia pergi ke tempat kejadian untuk memeriksa kerja-kerja membersihkan sawah sebelum mendapati traktor dipandu mangsa berhenti di tengah-tengah sawah.
“Pada mulanya saya ingatkan traktor rosak atau menghadapi masalah lain tetapi selepas memeriksa kawasan sekitar, saya ternampak mangsa terlentang di tengah sawah.
“Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa di celah jerami padi dengan kecederaan parah pada kepala dan beberapa anggota badan lain,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Kata Azli, mangsa yang baru hari pertama mengambil upah membersihkan sawah dengannya dipercayai pernah beberapa kali diserang penyakit itu sebelum ini.
“Mangsa berkemungkinan terkena sawan sebelum terjatuh dari traktor dan terkena bilah pemotong tunggul jerami sehingga maut,” ujarnya.
Sementara itu, adik mangsa, Emilia Syazwani, 16, berkata, dia terputus hubungan dengan abangnya itu yang merupakan anak kedua daripada empat beradik sejak dua tahun lalu.
“Saya dan adik sudah lama tidak berjumpa dengan abang sejak kami tinggal bersama ibu angkat, namun sejak tiga hari lalu entah kenapa saya teringatkan abang dan hari ini saya hanya mampu tengok mayatnya sahaja,” katanya.
Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Ismail Ibrahim yang mengesahkan kejadian berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jitra untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN ONLINE











