Cabaran lebih getir menanti Lang Merah - Utusan Malaysia

Cabaran lebih getir menanti Lang Merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 3 Mac – Selepas diikat tanpa jaringan oleh PKNS FC malam tadi, cabaran lebih getir bakal menanti Kedah apabila menentang Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam dua aksi Liga Super berikutnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lebih malang lagi, Lang Merah bakal menghadapi kedua-dua perlawanan itu tanpa tonggak pertahanan, Renan Da Silva Alves yang dilayangkan kad merah dalam aksi di Stadium Darul Aman semalam.

“Renan perancang utama permainan tapi dia tidak dapat bermain dalam dua perlawanan bertemu Pahang dan JDT selepas ini, jadi saya kena rancang semula barisan tanpa kehadirannya.

“Ia tidak mudah, namun pada masa ini apa yang penting adalah mengembalikan keyakinan pemain, berlatih dengan gigih dan menyusun strategi terbaik.

“Berdepan Pahang tidak mudah, begitu juga JDT,” kata jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak.

Kedah akan bertandang ke Kuantan, Jumaat ini dan menerima kunjungan JDT pada 31 Mac.

Dalam perlawanan malam tadi, Renan diarahkan keluar padang selepas dilayangkan kad merah oleh pengadil Mohd. Amirul Izwan Yaacob kerana mengasari Muhammad Faizat Mohamad Ghazali pada minit ke-86.

Aidil Sharin berkata, Kedah banyak mencipta peluang menjaringkan gol, terutama pada separuh masa kedua namun nasib tidak menyebelahi pasukannya.

“Saya gembira dengan prestasi yang ditunjukkan, kerana kita lihat pemain bermain bermati-matian menyekat serangan pihak lawan dan mencipta beberapa peluang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN